Sunday 25 November 2012

INFO-FORMWORK(ACUAN KONKRIT)


Fungsi Bahagian-Bahagian Acuan

Bentuk binaan konkrit boleh dibuat mengikut sebarang rekaan yang dicipta melalui kegunaan acuan. Dalam pembinaan konkrit, terdapat dua kumpulan acuan yang lazim digunakan iaitu acuan untuk konkrit tuang dahulu dan acuan untuk konkrit tuang disitu. Acuan untuk konkrit tuang dahulu dibuat dengan cara senang dibuka, mudah dialih dan boleh digunakan berulang kali. Acuan untuk konkrit tuang di situ selain daripada senang dibuka, tumpuan kepada kekukuhan dan ketepatan kedudukannya hendaklah diperhatikan.

Acuan biasanya dibuat untuk pembinaan tapak, ambang, rasuk, tiang, tembok, lantai, tangga dan jisim konkrit yang lain. Acuan ini hendaklah dibuat supaya dapat membentuk dan menyangga bancuhan konkrit sehingga konkrit itu menjadi keras dan berupaya menyokong sendiri. Acuan adalah binaan sementara dan mesti ditanggalkan selepas konkrit yang dibentuk itu cukup kuat.


Bahan-bahan Yang digunakan Untuk Acuan

Acuan boleh dibuat daripada beberapa jenis bahan. Bahan yang biasa digunakan ialah :

1. Papan dan papan lapis
2. Logam - keluli, besi bergalvani, aluminium dan sebagainya
3. Kaca gentian dan plastik gentian


Papan Dan Papan Lapis

Bahan ini sangat luas digunakan dalam pembinaan acuan baik untuk konkrit tuang dahulu mahupun konkrit tuang di situ. Bahan-bahan ini mudah didapati dan senang dikerjakan. Kayu lembut separuh kering adalah bahan yang baik untuk membuat acuan. Kayu yang terlampau kering akan menyerap air dari konkrit, manakala kayu yang basah akan mengecut menjadikan perubahan saiz dan bentuk konkrit. Kayu keras pula adalah berat dan sukar dipaku.

Logam

Kegunaan logam dalam pembinaan acuan adalah terhad pada pembinaan yang tertentu dan juga memerlukan kemahiran yang tersendiri. Penghasilan konkrit tuang dahulu biasanya memerlukan acuan logam kerana ia tahan lasak dan sesuai digunakan berulang kali. Kepingan logam biasanya digunakan dalam pembinaan lantai atas dan bumbung dalam bangunan yang bertingkat-tingkat.

Kaca Gentian dan Plastik Gentian

Kaca gentian dan plastik gentian digunakan khas untuk membina struktur yang mempunyai rekabentuk tersendiri.

Pembinaan Acuan

Acuan yang baik hendaklah mempunyai ciri-ciri yang berikut :

Kualiti

Darisegi kekukuhan, kekuatan, kedudukan dan dimensi menentukan kualiti acuan. Acuan mestilah dibuat kukuh dan kuat supaya berupaya menahan beban yang akan ditanggung seperti beban bancuhan konkrit, tetulang, pekerja, alatan yang digunakan dan juga getaran yang dilakukan untuk memadatkan konkrit. Kedudukannya mestilah tepat dan stabil. Dimensinya hendaklah mengikut rekabentuk yang ditetapkan. Selain daripada itu, rekabentuk acuan hendaklah mengandungi kemudahan untuk menanggalkannya supaya tidak mengganggu kedudukan konkrit apabila membuka acuan.

Keselamatan

Keselamatan mestilah dititikberatkan kepada pekerja, struktur dan alatan yang digunakan. Ia hendaklah dimulakan dari peringkat perancangan dan pengurusan. Rekaannya mestilah mematuhi pada undang-undang, pembinaannya dikawal dengan rapi dan penyeliaan dijalankan dari masa ke semasa.

Ekonomi

Kos mestilah rendah tetapi mematuhi kualiti dan keselamatan pembinaan acuan. Bahan-bahan yang digunakan hendaklah mudah didapati dan seboleh-bolehnya dapat digunakan berulangkali. Begitu juga pertimbangan harus diberi kepada cara pembinaan, jenis acuan dan kemahiran pekerja sedia ada.


Jangkamasa Minimun Untuk Menanggalkan Acuan


Bil Bahagian Acuan Jangkamasa

1.Tepi rasuk, tiang dan tembok =(2-6 hari)

2.Bawah rasuk dan papak (yang tidak dibebankan)=(7-14 hari)

3.Papan tepi (yang dibebankan)=(Tidak kurang 7 hari)

4.Papan bawah ( yang dibebankan)=(28 hari)


* Sebarang beban tidak boleh dibebankan sebelum 28 hari

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...